Halaman

Ahad, 10 Januari 2021

Belajar Jadi Pemimpin : 6 TIPS 'JANGAN' BAGI PEMIMPIN

 

PERTAMA: Pemimpin jangan dengan mudah merasa selamat. Di hadapan rakyat, seorang pemimpin itu sentiasa diperhatikan kerana pemimpin itu adalah tempat rujukan dan ikutan rakyat. Manakala di sisi Allah SWT pula, bukan saja manusia, terabai tanggungjawab terhadap haiwan pun memungkinkan dipersoalkan oleh Allah SWT.

 

Rasa selamat itu ertinya sudah lupusnya rasa kehambaan. Sedangkan seorang hamba itu, hendaklah sentiasa merasai berdosa walaupun dalam keadaan tidak berdosa. Betapalah kalau memang berdosa. Mengekalkan rasa kehambaan yang mendalam itulah yang mendorong seorang pemimpin sentiasa merintih dan mengadu kepada Tuhannya agar sentiasa memberi petunjuk dan pimpinan.

 

Rasa kehambaan juga menjadikan seorang pemimpin itu sentiasa bertaubat memohon keampunan. Taubat itu pula merupakan salah satu saluran bantuan Allah SWT. Selain itu, yang lebih penting ialah seorang pemimpin bertanggungjawab membawa manusia kepada Tuhan. Membawa manusia merasai rasa kehambaan dan rasa bertuhan. Tanggungjawab atau peranan itu tidak akan berkesan kecuali pemimpin itu sendiri memiliki rasa kehambaan dan rasa bertuhan.

 

KEDUA: Pemimpin jangan tercabar dengan sebarang kritikan. Anggaplah sebarang kritikan umpama ada orang yang memberitahu bahawa dalam baju kita ada lipan. Sekalipun pemimpin tidak bersalah, terimalah lebih dahulu sebarang kritikan. Wibawa seorang pemimpin akan jatuh sekiranya awal-awal lagi sudah memberi reaksi sembrono, gopoh dan melenting.

 

KETIGA: Pemimpin jangan mudah merajuk. Sedari dan fahamilah bahawa masalah manusia tidak akan selesai dunia Akhirat. Bertambah tidak selesai, bertambah kusut dan buntu andainya pemimpin membawa diri kerana merajuk. Masalah akan terus terbiar sekiranya pemimpin memilih untuk lari dari masalah.

 

KEEMPAT: Pemimpin jangan menutup pintu perbincangan, muzakarah atau berkongsi idea, buah fikiran dan pandangan. jangan sekali-kali bersikap tidak menerima perbezaan pendapat, jangan timbul rasa tidak senang terhadap mereka yang memberi pendapat yang bertentangan. Lebih-lebih lagi pantang sama sekali seorang pemimpin itu mencari jalan menghapuskan mereka yang tidak sependapat, ertinya menyama-tarafkan mereka sebagai musuh.

 

KELIMA: Pemimpin jangan suka diampu. Sikap begini akan menjadikan seseorang pemimpin itu di kelilingi oleh pengampu. Pengampu bukan bererti penyokong dan pengampu juga seringkali tidak jujur. Mereka mempunyai muslihat untuk kepentingan diri. Laporan dari para pengampu ini seringkali kurang tepat. Sekiranya seorang pemimpin itu membuat keputusan dan bertindak atas laporan tidak tepat dari puak pengampu maka akan timbul berbagai fitnah di dalam masyarakat.

 

KEENAM: Pemimpin jangan hanya bersedia terhadap orang atau sesuatu keadaan yang menyenangkan saja, yakni kalau tidak selesa mudah menarik muka dan menarik diri. Kalau tidak sesuai dengan selera dan keselesaan diri maka ditolaknya. Pemimpin yang bersikap begini adalah pemimpin yang lemah, yang tidak berupaya menanggung risiko. Kalau pemimpin tidak mahu mengambil risiko, betapalah rakyat biasa.


Seorang pemimpin itu mestilah dengan penuh sedar bahawa tanggungjawab dan amanah Allah itu hendaklah dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Dalam melaksanakan urusan kepimpinan itu Tuhan mahu melihat sejauh mana kesabaran dan pergantungan kita kepada Tuhan. Manakala kejayaan dalam urusan itu terserah kepada Allah SWT. Terdapat contoh sejarah di kalangan para rasul yang Tuhan tegur lantaran sikap kurang sabar, merajuk dan kurang bergantung kepada Tuhan.Contohnya, ialah Nabi Yunus a.s. Sedikit sikap merajuk atau kurang sabar Nabi Yunus itu bukanlah sampai terjatuh ke tahap dosa. Hanya sedikit rasa kurang selesa dengan kaumnya yang degil dan menyanggah seruannya. Lantaran itulah maka Nabi Yunus a.s. ditegur oleh Allah SWT. Teguran Tuhan itu didatangkan dalam bentuk Allah timpakan kesusahan kepada Nabi Yunus yang mana beliau ditelan oleh ikan. Kejadian itu menyedar dan menginsafkan Nabi Yunus. Lantas Nabi Yunus bertaubat tidak putus-putus.

 

Apabila taubat Nabi Yunus itu diterima dan Nabi Yunus kembali berserah kepada Tuhan, maka Tuhan keluarkan beliau dari perut ikan tersebut. Sewaktu kaumnya menemui Nabi Yunus terdampar di sebuah pantai, keadaan tubuhnya amatlah lemah. Kaumnya menerima Nabi Yunus dan memulihkannya. Kaumnya telah mengalami perubahan yang amat ketara. Perubahan kaum Nabi Yunus itu berlaku ketika Nabi Yunus masih berada di dalam perut ikan. Ertinya perubahan yang berlaku itu tanpa diusahakan oleh Nabi Yunus, dan tanpa sebarang penentangan.

 

Iktibar penting dari peristiwa Nabi Yunus dengan kaumnya itu ialah betapa sedikit saja tersilapnya seorang pemimpin maka Allah datangkan kifarah atau denda sebagai penebus dosa. Dan apabila seorang pemimpin itu bersungguh-sungguh membaiki diri, mendekatkan diri kepada Tuhan, bertaubat, memohon ampun, merintih, merayu dan menyerah diri kepada Tuhan; tanpa diusahakan, Tuhan jadikan masyarakat berubah, betapalah kalau disertakan dengan usaha. Adakalanya kedegilan umat, ingkarnya umat, keras kepada, tidak mahu patuh, itu adalah merupakan signal dari Tuhan bahawa pemimpin itulah yang sangat perlu membaiki dirinya. Apabila 'Whan sudi memandang dirinya maka Tuhanlah yang berhak menunaikan janjiNya melalui Tuhan lakukan perubahan kepada masyarakat.


Belajar 5 Perkara Elok Disebut

 

5 perkara yang patut disebut-sebut selalu untuk memberi kesedaran kepada kita sepanjang menjalani hidup ini. Nabi Muhammad saw pernah mengingatkan umat-umatnya tentang kelima-lima perkara ini iaitu:

1) Perbanyakkan menyebut Allah daripada menyebut makhluk

Sudah menjadi kebiasaan bagi kita menyebut atau memuji-muji orang yang berbuat baik kepada kita sehingga kadang-kadang kita terlupa hakikat bahawa terlampau banyak nikmat yang telah Allah berikan kepada kita. Lantaran itu, kita terlupa memuji dan menyebut-nyebut nama Allah. Makhluk yang berbuat baik sedikit kita puji habisan tapi nikmat yang terlalu banyak Allah berikan kita langsung tak ingat. Sebaik-baiknya elok dibasahi lidah kita dengan memuji Allah setiap ketika, bukan ucapan Alhamdulillah hanya apabila sudah kekenyangan hingga sedawa. Pujian begini hanya di lidah saja tak menyelera hingga ke hati.

2) Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia

Dunia terlalu sedikit dibandingkan dengan akhirat. 1000 tahun di dunia setimpal dengan ukuran masa sehari di akhirat. Betapa kecilnya nisbah umur di dunia ini berbanding akhirat. Nikmat dunia juga 1/100 daripada nikmat akhirat. Begitu juga seksa dan kepayahan hidup di dunia hanya 1/100 daripada akhirat. Hanya orang yang senteng fikiran sibuk memikirkan  Wawasan Dunia (WD) hingga terlupa Wawasan Akhirat (WA). Manusia yang paling cerdik ialah mereka yang sibuk merancang Wawasan Akhiratnya. Saham Amanah Dunia (SAD) tak penting, tapi yang paling penting ialah Saham Amanah Akhirat (SAA) yang tak pernah rugi dan  merudum malahan sentiasa naik berlipat kali ganda. Oleh itu perbanyakkanlah menyebut-nyebut perihal akhirat supaya timbul keghairahan menanam dan melabur saham akhirat.

3) Perbanyakkan menyebut dan mengingat hal-hal kematian daripada hal-hal kehidupan 

Kita sering memikirkan bekalan hidup ketika tua dan bersara tapi jarang memikirkan bekalan hidup semasa mati. Memikirkan mati adalah sunat kerana dengan berbuat demikian kita akan menginsafi diri dan kekurangan amalan yang perlu dibawa ke sana. Perjalanan yang jauh ke akhirat sudah tentu memerlukan bekalan yang amat banyak. Bekalan itu hendaklah dikumpulkan semasa hidup di dunia ini. Dunia ibarat kebun akhirat. Kalau tak usahakan kebun dunia ini masakan dapat mengutip hasilnya di akhirat? Dalam hubungan ini eloklah sikap Saidina Alli dicontohi. Meskipun sudah terjamin akan syurga, Saidina Ali masih mengeluh dengan hebat sekali tentang kurangnya amalan untuk dibawa ke akhirat yang jauh  perjalanannya. Betapa pula dengan diri kita yang kerdil dan bergelumang dengan dosa.

4). Jangan menyebut-nyebut kebaikan diri dan keluarga

Syaitan memang sentiasa hendak memerangkap diri kita dengan menyuruh atau membisikkan kepada diri kita supaya sentiasa mengingat atau menyebut-nyebut tentang kebaikan yang kita lakukan sama ada kepada diri sendiri, keluarga atau masyarakat amnya. Satu kebaikan yang kita buat, kita sebut-sebut selalu macam rasmi ayam 'bertelur sebiji riuh sekampung'. Kita terlupa bahawa dengan menyebut dan mengingat kebaikan kita itu sudah menimbulkan satu penyakit hati iaitu ujub. Penyakit ujub ini ibarat api dalam sekam boleh merosakkan pahala kebajikan yang kita buat. Lebih dahsyat lagi jika menimbulkan ria' atau bangga diri yang mana Allah telah memberi amaran sesiapa yang memakai sifatNya (ria') tidak akan mencium bau syurga. Ria' adalah satu unsur dari syirik (khafi). Oleh itu eloklah kita berhati-hati supaya menghindarkan diri daripada mengingat kebaikan diri kita kepada orang lain. Kita perlu sedar bahawa perbuatan buat baik yang ada pada diri kita itu sebenarnya datang dari Allah. Allah yang menyuruh kita buat baik. Jadi kita patut bersyukur kepada Allah kerana menjadikan kita orang baik, bukannya mendabik dada mengatakan kita orang baik. Kita terlupa kepda Allah yang mengurniakan kebaikan itu.

5). Jangan sebut-sebut dan nampak-nampakkan keaiban atau keburukan diri orang lain.

Kegelapan hati ditokok dengan rangsangan syaitan selalu menyebabkan diri kita menyebut-nyebut kesalahan dan kekurangan orang lain. Kita terdorong melihat keaiban orang sehingga terlupa melihat keaiban dan kekurangan diri kita sendiri. Bak kata orang tua-tua 'kuman seberang lautan nampak, tapi gajah di depan mata

tak kelihatan'. Islam menuntut kita melihat kekurangan diri supaya dengan cara itu kita dapat memperbaiki kekurangan diri kita. Menuding jari mengatakan orang lain tak betul sebenarnya memberikan isyarat bahawa diri kita sendiri tidak betul. Ibarat menunjuk jari telunjuk kepada orang; satu jari arah ke orang itu tapi 4 lagi jari menuding ke arah diri kita. Bermakna bukan orang itu yang buruk, malahan diri kita lebih buruk daripadanya. Oleh sebab itu, biasakan diri kita melihat keburukan diri kita bukannya keburukan orang lain. Jangan menjaga tepi kain orang sedangkan tepi kain kita koyak rabak. Dalam Islam ada digariskan sikap positif yang perlu dihayati dalam hubungan sesama manusia iaitu lihatlah satu kebaikan yang ada pada diri seseorang, meskipun ada banyak kejahatan yang ada pada dirinya. Apabila melihat diri kita pula, lihatkan kejahatan yang ada pada diri kita walaupun kita pernah berbuat baik. Hanya dengan cara ini kita terselamat dari bisikan syaitan yang memang sentiasa mengatur perangkap untuk menjerumuskan kita ke dalam api neraka.

 

Semoga 5 perkara yang disebutkan di atas dapat kita hayati dan diterapkan dalam kehidupan kita seharian. Sama-sama beroda semoga terselamat dari kemurkaan Allah semasa di dunia hingga ke akhirat. Amin...


Belajar Kenal Keaiban Diri

 

 


  1. Hampirkan diri pada guru atau orang berilmu yang dapat menyingkapkan sifat-sifat buruk yang bersarang dalam hati manusia. Guru akan memberitahu keaiban diri seseorang dan cara-cara mengubatinya.

 

  1. Hendaklah mencari rakan karib yang boleh dipercayai, bijaksana dan lebih pengetahuan agamanya.Teman sebegini akan memerhatikan tingkah laku temannya dan jika terdapat perbuatan yang tidak elok, dia segera mengingatkannya.

 

  1. Hendaklah berlapang dada apabila menerima teguran atau nasihat orang lain yang bersangkutan dengan perlakuan atau sifat aib yang terdapat dalam diri seseorang.

 

  1. Hendaklah sentiasa bergaul dengan orang ramai. Lantaran sebarang perkara tercela yang dilihat pada orang lain akan menimbulkan pertanyaan kepada dirinya - adakah perkara tersebut ada pada diri aku? Sebab orang Mukmin adalah cermin kepada Mukmin yang lain.

 

Sesungguhnya tabiat dan sifat manusia di alam ini sama sahaja dalam menurut hawa nafsu. Setiap sifat yang ada pada orang lain, tidak mustahil terdapat juga pada diri sendiri. Malah mungkin lebih dahsyat daripada itu. Sebaik-baiknya telitilah diri sendiri dan bersihkan diri daripada mencela orang lain. Ingatlah, tiada cara yang lebih utama untuk mendidik diri selain mengenal keaiban diri terlebih dahulu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...